Pernahkah anda terasa keliru apabila melihat pelbagai produk penjagaan kulit di kedai? Bukan anda seorang sahaja! Dengan pelbagai produk yang dipasarkan, ia memang boleh menjadi sangat mengelirukan. Walau bagaimanapun, regimen penjagaan kulit tidak perlu jadi rumit – apa yang anda perlu lakukan adalah kembali kepada rutin asas…  

Kenali Jenis Kulit Anda 

Adakah anda salah seorang remaja yang memiliki kulit bermasalah dan berminyak? Atau adakah anda seorang wanita berumur yang ingin mengurangkan kedutan? Kita semua memiliki keperluan kulit berbeza – pada setiap peringkat umur – jadi apabila anda memilih produk untuk regimen penjagaan kulit, adalah penting untuk anda memilih produk yang memenuhi keperluan kulit anda. Jika anda kurang pasti, bincanglah dengan pakar profesional dan biar mereka jalankan diagnosis untuk kenal pasti jenis kulit anda. Dan waspada, hanya kerana sesuatu produk itu berkesan tak semestinya ianya adalah pilihan yang betul. Keperluan kulit kita sentiasa berubah, jadi perhatikannya dan pilih produk yang bersesuaian.

Mulakan dengan Pencuci Muka

Pencucian muka  adalah nadi utama dalam rutin penjagaan kulit; bersihkan kulit dari sebarang kotoran dan sediakan kulit anda bagi proses seterusnya iaitu untuk produk lain menyerap. Anda perlu sasarkan untuk menggunakan pencuci muka dua kali sehari untuk hilangkan daki, bahan tercemar, minyak dan kotoran lain. Pada waktu malam, pencuci muka anda mempunyai tugasan penting untuk membuang lebihan kotoran daripada solekan sepanjang hari.

Pengelupasan Sekali Sekala

Setiap beberapa hari, anda perlu menambahkan produk pengelupasan dalam rutin penjagaan kulit anda. Produk untuk pengelupasan boleh menawarkan pengalaman pencucian muka mendalam dengan membersihkan lapisan permukaan atas sekali. Langkah ini bukan sahaja membuang kewujudan sel kulit mati tapi ia juga menggalakkan proses pertumbuhan sel baharu, agar kulit anda kelihatan sihat dan tampil segar.

Gunakan Produk Khusus Tambahan 

Jika anda lebih selesa dengan rutin penjagaan kulit yang menjimatkan kos, anda boleh langkau langkah ini. Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai keperluan kulit yang khusus (Contohnya: pigmentasi, kedutan, cela, kering, lingkaran hitam di bawah mata) inilah masanya rutin penjagaan kulit anda mampu mengatasi semua keperluan khusus anda dengan produk khusus. Serum, krim mata dan formulasi lain yang bersesuaian mengandungi ramuan yang diformulasikan untuk menangani isu kulit.

Gunakan Pelembap 

Setiap rutin penjagaan kulit mesti mengandungi pelembap. (Ya, walaupun anda memiliki kulit berminyak!) Kulit kita kehilangan lembapan sepanjang hari kerana faktor persekitaran dan fizikal. Oleh sebab itu, matlamat pelembap anda ialah untuk menggantikan semula lembapan yang hilang dan membantu menghalang kehilangan air. Rahsianya adalah untuk memilih pelembap yang sesuai dengan jenis kulit anda. Sebagai contoh, kepada mereka yang mempunyai kulit sensitif, anda boleh mendapat manfaat daripada pelembap dengan formulasi lembut.

Sentiasa Guna Pelindung Matahari 

Tak kira apa jua cuaca, langkah terakhir dalam regimen penjagaan kulit anda adalah untuk menggunakan produk pelindung matahari yang mencukupi. Sinaran UV adalah penyumbang utama kepada masalah kulit seperti pigmentasi, tona kulit tak sekata dan pembentukan garisan halus. Pelindung matahari mampu membantu memberi perlindungan kepada kulit anda dari sinaran ini.